Tuesday, 26 April 2011

Si Luncai

Al kisah, maka adalah sebuah negeri bernama Indera Pat, rajanya bernama Maharaja Isin. Maka negeri itu cukup lengkap seperti adapt istiadat negeri yang lain-lain juga, tetapi baginda itu baru sahaja ditabalkan menggantikan paduka ayahanda dan bondanya, kerana baginda itu telah hilang keduanya. Maka isteri baginda itu bernama Tuan Puteri Bongsu, ada berputera seorang, namanya Tuan Puteri Lela Kendi, telah berumur sepuluh tahun.
Arakian, maka adalah dihujung negeri itu seorang anak miskin, yatim piatu, namanya disebut oleh sekalian kanak-kanak dengan gelaran Si Luncai, kerana perutnya besar dan punggungnya tonggek serta pula apabila ia berjalan itu menjemur dada. Ada pun hal kehidupan Si Luncai itu mengambil upah menumbuk dan menjemur padi serta menjual katu api, itulah sahaja kerjanya.
Sekali peristiwa Si Luncai terlalu amat ingin hendak masuk mengadap baginda. Maka ia pun pergilah dengan rupanya yang terlalu buruk itu. Maka tiadalah diterima oleh baginda akan masuk Si Luncai itu, hingga beberapa kali pun demikian juga. Hatta, kepada suatu hari Si Luncai pun bersiaplah memakai pakaiannya yang lain, iaitu berseluar ganjam puth sudah koyak-koyak, dan berbaju hitam buruk menggerebeng seperti sarang petola, serta memakai kain hitam bermancung cobak-cabik, dan bertengkolok batik seperti tali ayam. Setelah sudah memakai itu, Si Luncai pun pergilah mengadap, dan pada masa itu baginda pun hadir sedang bercukur hendak pergi sembahyang Jumaat. Maka Si Luncai pun naiklah kebalai penghadapan di bawah rembat balai itu, lalu ia menyembah pada baginda, seraya ditegur oleh baginda. Katanya Hai Luncai, apa maksudmu datang ini? Maka sembah si luncai, ampun Tuanku beribu-ribu ampun, tiadalah apa-apa hasrat patik, hanya hendak mengadap kebawah dulu yang maha mulia sahaja.
Telah itu baginda pun diamlah. Maka baginda bercukur itu sudahlah. Apabila dilihat oleh Si Luncai ulu baginda itu bergundul tentang tengkuknya, maka ia pun menangislah dengan teramat sangat, tersenak-senak dan terisak-isak sehingga bercucuran air matanya. Maka titah baginda, Hai Luncai, apa engkau tangiskan ini? Maka sembah Si Luncai, ampun Tuanku beribu-ribu ampun, tersangatlah besar dukacita bagi kalbu patik tanyakan, dan hendak pun patik sembahkan telah Tuan patik tanyakan, dan hendak pun patik sembahkan menakuti sangat-sangat dihati patik, siapa mengetahui kalau-kalau menjadi kemurkaan kebawah dulu tuanku.
Maka titah baginda, kabarkanlah olehmu tiada aku marah. Maka sembah Si Luncai, ampun tuanku beribu-ribu ampun, ada pun sebabnya patik menangis ini kerana patik lihat ulu Tuanku itu. Ampun-ampun daulatnya barang bertambah-tambah daulat, serupalah betul-betul dengan kepala pachal tua kebawah duli yang telah hilang itu, daripada dogol-dogol dan sulahnya itu sedikit pun tiada bersalahan lagi. Maka itulah sebabnya hiba dan rawan dihati patik. Pada perasaan pati, tambahan pila susuk gaya bayanya pun haruslah sebaya dengan tuanku juga.
Hatta, setelah baginda mendengarkan sembah Si Luncai, maka baginda pun murkalah terlalu amat, merah padam warna mukanya seraya bertitah, hai Luncai, sampailah engkau ini kanak-kanak lagi miskin, patutlah tiada mempunyai akal dan fikiran. Adakah sampai hemat engkau menyamakan sifat aku dengan bapa engkau yang sudah mampus itu? Ceh! Ceh! Tidak kusangka sekali-kali demikian berani engkau. Maka sekarang engkau ini derhaka kepada aku, tentulah engkau kubunuh.
Maka baginda pun memberi isyarat pada hulubalangnya menyuruh tangkap Si Luncai, serta diikat dan dimasukkan kedalam guni. Titah baginda kepada seorang pertanda menyuruh bunuh akan Si Luncai dan campakkan kedalam air dikuala sungai itu. Maka segeralah dikerjakan oleh petanda itu, dibawanya Si Luncai turun kesampan serta berkayuh kehilir.
Maka kata Si Luncai, wahai encik pertanda, mintalah hamba sebiji labu air hendak hamba peloki, seolah-olah ganti ibu hamba, kerana hamba hendak mati ini, bolehlah hamba marifatkan hamba mati bersama-sama dengan ibu hamba. Maka jawab pertanda itu, baiklah. Kerana ia pun belas juga melihatkan orang yang telah tentu mati itu, lalu disuruhnya ambil labu air tempat bekalan mereka didalam perahu itu, yang besar sekali, seraya dikeluarkan dan diuraikan ikatnya lalu diberikan labu itu kepada Si Luncai.
Maka dipeluk oleh Si Luncai, lalu menangislah ia dengan amat sangatnya di tengah-tengah perahu itu. Kemudian lalu ia berkata kepada segala pertanda itu, katanya ya mamak pertanda, hamba melihat tuan hamba berkayuh itu terlalulah kasihan di hati hamba oleh terlampau penatnya. Jika begitu, ada suatu nyanyi supaya boleh membuat pelalai berkayuh itu, kita perbuat beramai-ramai. Maka jawab pertanda itu, apa dia? Luncai, pelalai itu? Maka kata Si Luncai, buatlah demikian. Si luncai terjun dengan labu-labunya, jawabnya biarkan, biarkan. Maka pertanda itu semuanya membuatlah seperti yang diajarkan oleh Si Luncai itu beramai-ramai. Si Luncai terjun dengan labu-labunya! Biarkan, biarkan. Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan, biarkan.
Maka dengan hal yang demikian bernyanyi itu bersahut-sahut, Si Luncai pun terjunlah sungguh kedalam sungai seraya menyelam. Maka pertanda jurumudi itu beberapa kali telah menyatakan, Si Luncai sudag terjun dengan labu-labunya kedalam air, tetapi oleh sabor dengan nyanyinya itu tiadalah siapa yang menghiraukan. Kemudia lalu berkatalah pula jurumudi dengan bengisnya, hai kamu sekalian anak perahu, cubalah lihat kebelakang, Si Luncai sudah terjun.
Maka barulah masing-masing menoleh keburitan perahu. Sesungguhnya campaklah Si Luncai sudah terdiri ditepi tebing sebelah kiri sungai. Wah apatah lagi. Bergopogopohlah masing-masing mengayuh perahu mendapatkan Si Luncai kedarat, lalu ditangkapnya. Telah dapat, dimasukkan kedalam guni itu juga serta diikat, langsung berkayuh pula. Tidak berapa lamanya, dengan kuasa Allah, kedengarlah bunyi suara rusa bertempek di darat bertalu-talu. Maka kata Si Luncai, dari dalam guni itu, Ya Allah, sayangnya rezeki terbuanglah sahaja.
Maka kata pertanda itu, apa engkau kata Luncai? Maka jawab Si Luncai. Tidak ada. Itu bunyi rusa bertempek, sudah mengena agaknya jerat yang hamba tahan disitu dahulu, tetapi apalah daya hendak mengambilnya? Sahajalah binatang itu mati oleh kena jerat, tiada siapa mengambilnya. Maka kata pertanda itu sama sendiri. Mari kita singgah mengambil rusa yang telah kena jerat Si Luncai itu. Telah bersetuju muafakatnya, maka perahu itu pun disinggahkanlah lalu kedarat, sekalian pertanda itu mencari tempat jerat Si Luncai itu merata-rata hutan, dan dimana-mana kedengaran bunyi rusa bertempek, kesitulah dikejar oleh segala pertanda itu dengan tempek soraknya. Demi rusa itu mendengar suara manusia, ia pun makinlah jauh larinya.
Kelakian, tersebutlah perkataan Si Luncai tinggal diperahunya di dalam guni seorang dirinya. Dengan kuasa Allah ta`ala, lalulah seorang India menjual dagangan. Maka dilihat oleh Si Luncai tampak baying-bayangnya kilau-kilau dari dalam guni itu. Maka ia pun berseru-seru dengan nyaring suara, katanya, Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, mohonlah patik, sekali-kali patik ta` mahu kahwin dengan paduka anakanda itu. Remaklah patik mati dibuangkan kedalam air ini.
Hatta, setelah didengar oleh saudagar India itu akan rungut Si Luncai, maka ia pun datang mendekati keperahu itu, seraya bertanya. Katanya, hai orang dalam guni, apa tuang ini macam? Siapa punya kerja ini? Maka sahut Si Luncai dengan tangisnya, Ada pun sebab hamba ini menjadi demikian kerana raja negeri ini hendak mengahwinkan hamba dengan puterinya, hamba tiada mahu. Inilah hendak dibunuhnya.
Setelah didengar oleh saidagar India akan kata Si Luncai itu, ia pun terlalu sukacita hendak kawin itu. Lalu katanya, apa? Kahwinkah? Saya banyak suka! Raja mahukah ganti sama saya kasi kahwin dia punya anak? Maka kata Si Luncai, kalau mamak mahu, raja tentu banyak suka. Sahaya yang miskin lalgi ia mahu, ini pula mamak orang kaya. Jika begitu, marilah bukakan saya, mamak menjadi ganti saya. Maka mamak India itu pun naiklah kedalam perahu lalu mengorakkan tali guni dan tali si Luncai. Setelah Si Luncai keluar mamak itu pun masuklah kedalam guni itu lalu diikat pula oleh Luncai akan tangan mamak dan mulut guni itu. Kemudian diajarnya mamak itu. Katanya, apabila, apabila datang hamba raja itu sekarang, mamak bilanglah kepada dia orang, saya mahu kawin dengan anak raja. Maka kata mamak India itu, baiklah.
Setelah sudah, Si Luncai pun menggalas bungkus kain mamak itu, lalu lari pulang kenegerinya. Arakian, tersebutlah perkataan sekalian pertanda yang pergi mencari bekas jerat Si Luncai itu. Telah tiada bertemu masing-masing oun pulanglah keperahu. Maka didengar oleh mereka itu Si Luncai berkata. Saya mau kawin sama raja punya anak, saya mau kawin sama raja punya anak. Berpuluh-puluh kali demikian juga katanya. Maka mereka sekalian pun heran seraya berkata, kena apa Si Luncai ini bermacam-macam pula lakunya? Ini doperbuatnya seperti suara orang India , dan katanya ia hendak kahwin dengan anak raja. Siapalah yang mahukan dia itu agaknya? Hai, hai Luncai, tadi sudah terjun dengan labu-labunya. Sekarang pun engkau hendak menipu kamikah juga? Walau macam mana sekali pun tidakkan kami lepaskan lagi. Matilah engkau sekali ini.
Maka kata mamak India itu, saya bukan Luncailah, saya orang India jual barang-barang kain baju. Luncai sudah pergilah, sekarang sayalah mahu kahwin sama raja punya anak. Maka kata pertanda itu, ya baiklah, Luncai . walau engkau jadi India sekali pun engkau mati juga. Lagi pun sekarang engkau sudah menjadi gila. Adakah patut layak macam engkau hendak kahwin dengan anak raja? Ceh, ceh tak malu.
Demi didengar oleh mamak India itu akan perkataan pertanda yang demikan, ia pun makinlah menangis tetapi tiadalah barangsiapa yang peduli akan dia, masing-masing berkayuh juga. Telah sampailah kekuala lalu dicampakkanlah guni India itu langsung tenggelam dan matilah ia. Maka pertanda itu pun kembalilah persembahkan segala hal ehwal itu kepada baginda. Maka baginda pun terlalu sukacitanya.
Sebermula, maka tersebutlah perkataan Si Luncai berjalan itu. Hari pun sudah malam, ia pun sampailah kerumahnya lalu tidur dan tiadalah ia berjalan dalam tujuh hari lamanya, kerana ia mencari akal tipu daya hendak membinasakan raja itu. Maka pada suatu hari Si Luncai pun memakailah segala serban jubah saudagar India yang ditipunya itu, serta sebuah tasbih panjangnya sedepa dan sebatang tongkat pula dibawanya. Maka ia pun berjalanlah dekat-dekat dengan balairung seri baginda itu. Dan kepada ketika itu baginda pun sedang dihadap oleh orang terlalu banyak, penuh sesak balai penghadapan itu. Maka baginda pun terpandanglah akan Si Luncai memakai pakaian cara haji itu. Maka diamat-amati oleh baginda, sahlah rupa Si Luncai.
Maka titah baginda, hai sekalian orang besar-besar, siapa itu? Beta lihat seakan-akan rupa Si Luncai. Maka sembah mereka itu sekalian, sebenarnyalah seperti titah dulu itu. Pada penglihatan patik-patik sekalian pun demikian juga. Maka titah baginda, cuba juga panggil Tuan Haji itu, bertanya dari mana datangnya. Maka menteri pun berserulah dengan nyaring suaranya, katanya wahai tuan hamba Tuan Haji mari juga singgah, titah di panggil. Hatta telah didengar oleh Si Luncai, maka ia pun singgahlah mengadap baginda serta memberi salam, katanya, Assalamu`alaikum, ya khalifatul mu`minin. Maka disahut oleh baginda, Wa`alaikumussalam, hai muslim, siapa engkau ini?
Maka sembah Si Luncai, ampun tuanku beribu-ribu ampun, barang bertambah-tambah daulat shah alam, bahawa patik inilah malaikat Si Luncai yang telah Tuanku bunuh dahulu. Ada pun patik ini sekarang sudah menjadi orang negeri akhirat, bukannya patik orang didalam dunia ini lagi. Setelah didengar oleh baginda dan segala orang besar-besar itu, masing-masing pun, sebenarnyakah sungguh engkau ini malaikat Si Luncai yang mati. Dan lihatlah oleh Tuanku rupa dan pakaian patik ini semuanya sudah berubah diberi oleh malaikat orang tua patik, kerana orang tua patik kedua-duanya dikurniai Allah ta`ala tempat kesenangan di negeri akhirat.
Maka titah baginda, jika demikian, adakah engkau mendengar kabar ayahanda dan bondaku yang telah mangat itu? Maka sembah Si Luncai, bukannya mendengar lagi tuanku, patik sendiri dibawa oleh malaikat orang tua patik itu mengadap ayahanda dan bonda itu. Patik lihat istana dan mahligai paduka ayahanda itu terlalu indahnya daripada tempat semayam tuanku ini.
Maka titah baginda, adakah ayahanda bonda bertanyakan aku in? maka sembah Si Luncai, adalah sangat, tuanku. Patik ceritakanlah kepada baginda itu dari awal hingga akhirnya serta pasal kematian patik itu. Maka demi didengarnya sebab kematian patik tuanku bunuh itu, wah baginda laki isteri pun terlalu murka akan tuanku. Titahnya, tiada patut sekali-kali diperbuat oleh anakku itu, sebab kesalahan engkau yang begitusedikit disurunya bunuh. Kemudian lalu disuruhnya hantarkan patik pada malaikat orang tua patik balik kedalam dunia in, kerana ajal patik belum sampai lagi katanya. Dan lagi titah paduka ayahanda bonda itu kepada patik minta persilakan tuanku pula berangkat bemain-main melihat negeri akhirat, kerana terlalu rindu paduka ayahanda dan bonda itu akan tuanku, dan jika tuanku berangkat kesana, pada fikiran patik telah tetaplah yang tuanku tiada sekali-kali berniat hendak balik kedunia ini oleh tersangat indah-indahnya negeri akhirat itu. Ada pun patik ini tiada berdaya lagi oleh terlampau digagahi paduka ayahanda kedua menyuruh sampaikan pesannya kebawah duli tuanku.
Dari sebab itulah patik balik juga persembahkan titah paduka ayahanda itu, takut kalau-kalau menjadi keberatan pula keatas patik kemudian hari. Akan tetapi jika sekiranya tuanku hendak melihat apa-apa hal paduka ayahanda dan bonda itu, bolehlah juga tuanku kita lihat dari atas dunia ini. Perbuatlah suatu bangun-bangunan yang tinggi boleh patik ajarkan. Ada suatu doa diamalkan, nescaya tampaklah apa-apa hal paduka ayahanda bonda itu dengan kemudahannya.
Tetapi jikalau barangsiapa tiada tampak, harapkan diampuni kebawah duli, alamat besarlah padahnya mereka itu, iaitu telah terjunamlah mereka bukannya daripada anak halal. Maka doa itu pun patik dapat dengan berkat pengajaran paduka ayahanda juga mengajar patik. Maka ada pun hal patik apabila patik rindua akan orang tua patik, maka patik bacakankanlah doa itu, nescaya tampaklah apa-apa halnya didalam kubur, serta sekalian isi negeri akhirat itu.
Hatta, setelah didengar oleh baginda serta sekalian yang mengadap itu masing-masing pun menerimalah pada akalnya serta dengan percayanya. Maka sabda baginda, hai malaikat Si Luncai, aku bertempohlah tujuh hari hendak membuat bangunan itu. Maka sembah Si Luncai, tuanku, daulat beribu-ribu daulat, seperti titah itu patik junjunglah. Maka Si Luncai pun menyembah baginda, mohon ampun pulang kerumah berdiam dirinya.
Arakian, maka baginda pun menitahkan perdana menteri perbuat bangun-bangunan itu dengan segeranya. Maka dikerjakan oranglah seperti titah baginda itu. Selang tiada berapa lamanya bangun-bangunan itu pun siaplah sekaliannya. Maka perjanjian Si Luncai pun genaplah. Ia pun lalu datang mengadap baginda. Telag itu baginda pun berangkatlah diiringkan oleh segala orang besar-besar dan menteri, hulubalang, rakyat sekalian serta dengan Si Luncai naik keatas bangun-bangunan itu.
Telah duduklah sekaliannya maka Si Luncai pun mengajarlah akan baginda serta dengan orang-orang besar akan doa pertunjukkan itu. Maka sembah Si Luncai, ampun tuanku beribu-ribu ampun, apabila sudah tuanku sekalian baca doa ini, jikalau tiada nampak akan paduka ayahanda bonda sekalian isi negeri akhirat, bahawa pada masa itu telah tentulah tuanku sekalian haram zadah.
Demikianlah sekali padahnya berkat titah ayahanda kedua-duanya juga mengajar akan patik doa ini. Maka titah baginda, mana-mana takdir daripada Allah, aku menerima syukur sahaja. Setelah baginda menerima pengajaran daripada Si Luncai maka sembah Si Luncai, persilakanlah tuanku ayahanda bonda itu.
Maka baginda serta dengan sekalian mereka yang belajar itu pun mendongak kelangit. Maka Si Luncai pun pura-puralah memandang sama-sama kelangit. Hatta sembah Si Luncai apa kabar tuanku? Adakah tampak ayahanda kedua-dua duduk diatas takhta kerajaan dengan aman sentosanya dihadapi oleh sekalian anak bidadari? Cubalah tuanku nyatakan kepada patik dengan sebenarnya.
Maka demi baginda mendengarkan sembah Si Luncai, termenunglah baginda sejurus panjang sambil berfikir didalam hatinya, hendak aku katakana tampak, tiada suatu apa pun yang ada, hanya awan saja yang aku lihat, tetapi kalau aku katakana tiada nampak, tetaplah aku dikatakan oleh si Luncai ini anak haram. Jika begitu, biarlah aku berdusta, asalkan jangan terkena nista oleh Si Luncai.
Maka baginda pun mengakulah mengatakan nampaklah sekalian hak ehwal. Sesudah titah baginda demikian itu maka masing-masing pun menurutlah seperti titah itu, semuanya mengatakan nampak belaka. Telah itu, maka sembah Si Luncai, sekiranya jika tiada puas lagi rasanya dikalbu tuanku, persilakanlah esok harinya patik bawa mengadap ayaganda bonda itu supaya lenyap rindu dendam tuanku yang selama ini akan dia dan boleh pula tuanku melihat sekalian perkara yang terlebih ajaib-ajaib serta indah-indah pula daripada yang tuanku lihat tadi. Maka titah baginda, baiklah esok bawalah aku pergi sendiri kepada ayahanda bondaku. Maka sekalian orang besar-besar itu pun berkehendak juga pergi masing-masing. Maka ujar Si Luncai kepada mereka itu, biarlah tuanku sahaja pergi dahulu, diperhamba bawa. Kemudian setelah diperhamba balik kedunia ini dengan baginda, barulah dato sekalian diperhamba bawa kesana.
Arakian, setelah sudah berkata-kata itu, maka baginda pun berangkat turun dari atas bangun-bangunan itu serta diiringikan oleh segala orang besar-besar dan Si Luncai kembali ke balai penghadapan, seraya baginda bertitah kepada Si Luncai, pagi-pagi besok pergilah kita Luncai dengan segeranya.
Maka sembah Si Luncai, silakan tuanku, tetapi hendaklah tuanku titahkan perbuat suatu mongkor kaca, serta perbuati berkisi-kisi luarnya, kemudian diberi bertali dan muatkanlah sekalian perkakasan tuanku serta berkelana sekali. Maka titah baginda, baiklah Luncai. Maka baginda pun segeralah menitahkan beberapa orang pandai dan utas perbuati mongkar seperti yang dikatakan oleh Si Luncai itu, hendak sudah pada malam itu juga dengan tiada boleh tidak. Maka dikerjakanlah oleh segala tukang itu pada malam itu juga. Telah baginda bertitah demikian, baginda pun berangkat masuk keistana mendapatkan adinda dan anakanda baginda, dan Si Luncai dengan segala orang besar-besar itu tidurlah dibalai, tiada kembali lagi.
Hatta, telah datang keesokan hari, baginda pun bangun bersiram ketiga puteranya. Sudah selesai lalu santap nasi dan peganan juadah. Setelah sudah, maka baginda pun bermohon kepada adinda baginda dan memeluk mencium puterinya itu, lalu berangkat kebalai penghadapan. Didapati baginda sekalian orang besar-besar dan menteri, hulubalang, rakyat semuanya telah hadir, dan mongkar itu pun sudah musta`id sekaliannya.
Maka baginda pun memandang kepada Si Luncai seraya bertitah, apa lagi kita Luncai? Maka sembah Si Luncai, silakanlah, Tuanku. Maka baginda pun berangkatlah diiringkan oleh segala menteri, hulubalang dan rakyat sekalian, dibawa oleh Si Luncai kepintu lubang suatu gua yang terlalu dalam, melainkan Allah jugalah yang mengetahuinya. Seketika berjalan sampailah ketempat itu. Maka Si Luncai pun mendatangkan sembah. Katanya ampun tuanku beribu-ribu ampun, bahawa inilah jalan patik keluar kedunia dahulu.
Maka titah baginda, jikalau begitu, turunlah kita segera, biar orang besar-besar tinggal menanti kita disini. Maka sembah Si Luncai, silakanlah tuanku masuk kedalam mongkor kaca ini dan biarlah patik duduk pada kisi-kisi diluar mongkor, kerana patik hendak membawa jalan keakhirat, iaitu sesudah dihilurkan oleh mereka ini sekalian kebawah.
Telah itu baginda pun masuklah dan Si Luncai berdiri diluar mongkor itu. Setelah musta`id, lalu dihulurkanlah sekalian menteri, hulubalang dan orang besar-besar akan baginda dengan Si Luncai kedalam lubang itu. Maka pada waktu hendak turun mongkor itu, Si Luncai pun bersedia sahajalah hendak berlepas dirinya. Dengan takdir Allah ta`ala, adalah pula suatu lubang yang lain, boleh naik kedunia balik. Apabila terpandang sahaja olehnya, makaa ia pun melompatlah keatas suatu batu ditepi lubang itu dengan pantasnya. Maka baginda tiadalah sempat hendak keluar lagi, oleh meraka yang diatas lubang itu dengan pantasnya. Maka baginda tiadalah sempat hendak keluar lagi, oleh tali mongkor itu terlalulah amat deras dihulurkan oleh mereka yang diatas lubang itu. Maka dilihat baginda makin lama makin gelap gulitalah, sehingga lemaslah baginda tak boleh bernafas lagi.
Maka dengan kudrat dan iradat allah ta`ala, mongkor itu pun terjatuh betul kedalam mulut seekor naga yang terlalu besarnya. Maka demi dirasanya sahaja, apatah lagi, langsung ditelannyalah. Maka baginda pun mangkatlah. Kelakian, tersebutlah perkataan Si Luncai. Telah dilihatnya baginda itu tiada dapat keluar dari dalam mongkor itu, dan langsung terus kebawah sahaja serta telah ghaiblah, maka ia pun berserulah dengan nyaring suaranya, katanya, hai sekalian menteri dan orang besar-besar serta hulubalangku, putuslah tali ini., kerana aku telah bertemu dengan ayahanda bonda, dan tiadalah diberinya aku berbalik lagi kedunia. Si Luncai sahaja aku titahkan balik akan ganti aku menjadi raja dinegeri, serta kahwinkan dia dengan puteriku Tuan Puteri Lela Kendi itu.
Setelah didengar oleh mereka itu masing-masing pun pulanglah keistana baginda, persembahkan seperti titah baginda itu kepada Puteri Bongsu dan anakanda baginda. Aduhai. Demi terdengar sahaja kepada Tuan Puteri keduanya perkabaran dan titah baginda demikian itu, hancur luhur, remuk rendamlah hati Tuan Puteri kedua, lalu menangis menghempaskan dirinya serta pula dengan segala dayang-dayang dan inang pengasuh, bagaikan bunyi orang beramuk didalam istana itu. Maka Tuan Puteri kedua pun lalu pengsan tiada sedarkan dirinya lalu, disirami oleh dayang-dayang sekalian dengan air mawar. Telah Tuan Puteri sedar daripada pengsannya itu, maka ia pun bertitah menyuruh berbuat kenduri akan baginda itu. Demikianlah perkabungan Tuan Puteri keduanya.
Shahdan maka tersebutlah perkataan Si Luncai. Telah tujuh hari tujuh malam ia didalam gua itu, dengan beberapa sengsaranya hendak mencari jalan keluar, dengan takdir Allah ta`ala, diikutnya juga pada jalan yang bercahayanya terang itu. Maka dapatlah selamat sempurnanya.
Hatta, pada keesokan harinya Si Luncai pun pura-pura berjalan kebalai penghadapan baginda. Telah dilihat oleh menteri, huluibalang dan orang besar-besar sekalian akan Si Luncai, masing-masing memberi hormat dan memimpin tangannya, dibawa naik keatas balai, didudukan dikerusi kerajaan baginda dan sekalian wazir, orang besar-besar pun duduklah dibawah mengadapnya.
Maka perdana menteri pun berserulah dengan nyaring suara, katanya ayuhai sekalian encik-encik dan taun-tuan, besar kecil, tua muda, laki-laki perempuan, hina mulia, ya`ni seisi negeri ini. Bahawa sekarang dengan titah Yang DiPertuan yang telah berangkat kenegeri akhirat itu, pada masa ini encik Luncai dengan anakanda baginda Tuan Puteri Lela Kendi itu.
Demi didengar oleh yang oleh yang hadir itu, maka terlalulah ta`jub mereka itu masing-masing, tetapi berdiam diri sahajalah, tiada berkata-kata. Maka Si Luncai bedebah itu pun berbuat pura-pura terkejut seraya mengucap, Astaghfiru`llah, apa sebabnya dato berkata demikian? Hamba taj` rela sekali-kali, kerana hamba tiada besarkan kebesaran dunia ini lagi, oleh hamba telah menjadi orang negeri akhirat sana .
Maka kata Perdana Menteri. Hamba tiada berani melalui titah baginda itu. Telah itu Si Luncai pun diamlah. Maka sabda Perdana Menteri, sekarang juga hendak beta kahwinkan raja dengan Tuan Puteri itu. Maka kadi pun tampillah menikahkan Si Luncai dengan Tuan Puteri Lela Kendi itu, tiada bekerja, hanya mengambil selamat sahaja.
Hatta, setelah sampai waktunya, maka Si Luncai pun masuklah keperaduan dengan Tuan Puteri. Maka Tuan Puteri Lela Kendi pun menangis oleh terlalu meluat ia melihat rupa Si Luncai itu. Beberapa pun dipujuk oleh inang pengasuhnya tiada ia mahu beradu oleh terkenangkan ayahandanya itu. Maka hari pun hampirlah dinihari. Si Luncai pun terlelaplah lalu tidur.
Maka fikir hati Tuan Puteri, sebab Si Luncai bedebah celaka ini, maka aku bercerai dengan bapaku. Jika begitu, baiklah aku bunuh akan dia. Maka Tuan Puteri mengambil sebilah keris ayahnya lalu menikam kerongkong Si Luncai. Maka ia pun mengeruhlah lalu mati. Maka Tuan Puteri pun larilah keluar mendapatkan bondanya berkabarkan hal ehwal itu. Maka Tuan Puteri Bongsu pun sangatlah ketakutan serta memanggil Perdana Menteri. Ia pun masuk kedalam istana. Sabdanya, apakah sebabnya tuan hamba bunuh akan suami tuan hamba ini?
Maka titah Tuan Puteri Lela Kendi, bahawasanya dari sebab Si Luncai celaka itulah beta bercerai dengan paduka ayahanda beta, entahkan ayahanda itu dibunuhnya, dikatakan pergi kenegeri akhirat. Yang beta sekali-kali tiada percaya akan kata Si Luncai itu. Jika sekiranya ia hidup lagi, tentulah mamak pun dibunuhnya juga, jangan syak lagi.
Setelah Perdana Menteri dan Permaisuri mendengarkan sabda anakanda itu terlalu sebal dan sesal keduanya akan segala perkara yang telah lalu itu, semuanya sudah terkena tipu oleh si Luncai. Masing-masing pun menangislah terkenangkan baginda, kerana kebodohan ia sekalian menurutkan kata Si Luncai bedebah itu. Maka mayat Si Luncai pun disuruh tanamkan dengan sepertinya.
Maka bermesyuaratlah sekalian menurutkan sekalian orang besar-besar menabalkan Tuan Puteri Lela Kendi ganti ayahandanya memerintahkan negeri, dipandu oleh memakanda Perdana Menteri menjalankan hukuman seperti istiadat yang dijalankan oleh ayahanda baginda dahulu dengan adilnya. Maka tersangatlah sukacita Tuan Puteri Bongsu oleh puterinya menjadi maharani itu. Maka keduanya pun berbuat amal ibadat akan Allah ta`ala pada setiap waktu serta tiadalah mahu keduanya bersuami lagi. Demikianlah diceritakan oleh orang yang empunya cerita ini.

No comments:

Post a Comment