Tuesday, 26 April 2011

Diatas takhta singgahsana Kerajaan Melaka, Sultan Mahmud Syah tersenyum girang apabila menerima kepulangan rombongan peminangan setelah berberapa hari meredah hutan di Gunung Ledang demi menyampaikan hasrat peminangan untuk Puteri Gunung Ledang. Namun apabila mendengarkan sembah dari Tun Mamat tentang syarat-syarat peminangan yang diletakkan oleh Puteri Gunung Ledang sebagai hantaran perkahwinan, Baginda Sultan terdiam sebentar. Didalam benaknya, Baginda berfikir. Melaka sebuah kerajaan yang gagah. Jajahan takluknya menjangkaui hingga seberang Selat Melaka dan sempadan Kerajaan Siam. Luasnya tak terkata dan dipenuhi pula oleh orang cerdik pandai. Dikunjungi pedagang segenap pelusuk dunia dan tak kurang juga pahlawan yang gagah perkasa. Kenapa perlu risaukan tentang tujuh syarat peminangan ini? Berapa banyak raja-raja dan pahlawan-pahlawan tunduk kepada Melaka, inikan pula hanya seorang perempuan?
Pecah khabar diseluruh Kerajaan Melaka yang Sultan Mahmud memerintahkan sekelian hamba rakyat berhempas pula membina jambatan emas dan jambatan perak yang menyambungkan Istana Mahligai dan Gunung Ledang. Seluruh gedung perbendaharaan dikosongkan, seluruh isinya, emas dan perak dilebur untuk digunakan untuk membina kedua-dua jambatan tersebut. Tidak cukup dengan itu, cukai dinaikkan dan hamba rakyat dikerah untuk menyerahkan segala emas dan perak milik mereka. Selain dari itu, para gadis dikerah berkurung didalam kawasan istana dan dipaksa menangis, untuk memenuhi tujuh tempayan antara syarat hantaran tersebut. Sementelah itu sebahagian rakyat dikerah pula untuk mendapatkan buah-buah pinang muda untuk di dapatkan airnya walhal semua orang tahu, pinang muda tidak berair.
Rungutan dan pemberontakan berlaku dimana-mana demi menentang akan penganiayaan yang berlaku, namun, jika dibandingkan dengan pahlawan-pahlawan baginda Sultan, siapalah mereka, hamba rakyat biasa. Meraka hanyalah terdiri dari petani dan pesawah, nelayan dan peniaga-peniaga biasa yang hanya tahu serba sedikit ilmu mempertahankan diri. Tapi pahlawan-pahlawan baginda Sultan berilmu tinggi, gagah perkasa dan kebal pula, masakan tidak, takkanlah sebegitu besar kuasa dan jajahan takluk Kerajaan Melaka?
Mahu atau pun tidak mereka tidak punya pilihan melainkan menurut dan jalankan sahaja titah Baginda Sultan untuk menyempurnakan semua syarat hantaran perkahwinan yang ditetapkan oleh Puteri Gunung Ledang. Hendak jadi berani biarlah bertempat, jika tidak buruk padahnya!
Setahun sudah berlalu dan Sultan Mahmud Syah menjadi semakin berahi dan tidak sabar menantikan lengkapnya sekelian hantaran-hantaran perkahwinan tersebut. Tambahan pula saban malam, Puteri itu muncul didalam mimpinya memanggil-manggil dan membelai Baginda Sultan, memujuk rayu seakan Puteri itu juga seperti Baginda, tidak sabar-sabar untuk bersama Baginda.
Pada suatu hari, Baginda yang sudah tidak sabar-sabar lagi mengunjungi gedung perbendaharaan tempat dimana disimpan segala hantaran yang telah siap. Tersenyum puas baginda melihatkan segalanya hampir sempurna. Berbaloi benar penantian selama lebih setahun ini dan apa yang diimpikan hampir menjadi kenyataan. Dan jambatan emas dan perak berkilauan dipanah cahaya matahari, melingkari bukit dan lembah yang dibina menyambungkan Istana Mahligai dan puncak Gunung Ledang.
Segalanya cukup sempurna tapi....apakan bekas yang masih kosong itu? Soalan itu diajukan Sultan kepada Bendahara. Dan bekas yang kosong itulah sepatutnya dipenuhi syarat hantaran perkahwinan yang terakhir-darah dari zuriatnya sendiri, Raja Ahmad. Pewaris takhta yang tunggal tapi kini....akan menjadi sebahagian dari syarat perkahwinan baginda? Berbaloikah?
Kasih anak yang selama ini ditatang dan dibelai, bakal ditukar ganti dengan kasih seorang perempuan yang selama ini hanya muncul didalam mimpinya?
Ahh.....! Semua yang diusahakan ini takkan lagi menjadi sia-sia! Alang-alang berdakwat, biar sampai hitam, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Apa yang dah dimulakan, beta akan sudahkan! Puteri Gunung Ledang tetap akan menjadi milik beta! Itulah yang terus mengasak fikiran baginda. Sekali ini baginda nekad....
Menjelang malam, Baginda Sultan Mahmud Syah menyusup masuk ke kamar peraduan anaknya itu, Raja Ahmad. Apabila dihampiri tempat peraduan tersebut dan dilihat oleh baginda akan wajah Raja Ahmad, hati baginda berubah menjadi sayu. Wajah Almarhumah Permaisuri Tun Kecil jelas terbayang....dan sudahnya baginda meninggalkan kamar tersebut.
Pada malam yang kedua, baginda Sultan sekali lagi menyusup masuk ke kamar peraduan Raja Ahmad, dan kali ini keris sudah terhunus di tangannya tapi entah mengapa, sebaik terpandang wajah kecil itu yang sedang tidur lena dan dadanya yang turun naik, baginda terduduk dibirai katil. Keris yang sepatutnya dibenamkan ke dada kecil itu diletakkan ditepi, sebaliknya tangannya mengulas pipi kecil yang mulus itu...dan sekali lagi Baginda berjalan meninggalkan kamar peraduan itu, sambil Raja Ahmad masih sedang lena dibuai mimpi.
Malam ketiga, baginda membulatkan tekad. Malah sebelum dari memasuki kamar peraduan Raja Ahmad lagi, baginda telah mempersiapkan diri dengan keris terhunus ditangan, sementara mangkuk yang bakal dipenuhi dengan darah raja yang masih kecil itu siap tergenggam ditangan kiri. Rancangannya baginda akan terus masuk ke kamar tersebut dan terus membenamkan mata keris tersebut didada kanak-kanak itu. Namun bukan itu yang terjadi! Hanya berberapa inci lagi mata keris itu bakal menyentuhi dada Raja Ahmad, entah dari mana angin yang maha kencang menyerbu masuk ke kamar itu, berpusar-pusar dan bergulung-gulung dihadapan baginda. Baginda Sultan Mahmud terkesima dan terpaku. Dari dalam deruan angin yang kencang itu muncul sesusuk tubuh yang amat dikenalinya...Puteri Gunung Ledang sedang berdiri dihadapannya!
Puteri itu amat murka dan kecewa dengan perilaku Sultan Mahmud. Demi kerana nafsu, baginda menukarkan wajah Kerajaan Melaka yang selama ini dikenali sebagai sebuah kerajaan yang diagungkan dan disegani diseluruh dunia, bertukar, menjadi sebuah kerajaan yang menakutkan dan menggerunkan! Dan kerana gilakan seorang perempuan yang belum tentu budi dan kasihnya, baginda sanggup mengorbankan darah daging sendiri, satu-satunya bakal penyambung zuriat dan keturunan baginda. Dan Puteri Gunung Ledang juga membongkar rahsia disebalik syarat-syarat hantaran perkahwinan. Tidak lain tidak bukan, syarat itu tidak lebih dari kata-kata penolakan secara halus dari Puteri itu.
Seakan satu tirai hitam yang mengaburi pandangan mata baginda hilang sebaliknya baginda seakan dapat melihat satu bentuk kekejaman yang amat hebat sedang berlaku dihadapannya, yang dilalukannya olehnya sendiri. Puteri Gunung Ledang benar-benar telah membukakan mata dan hatinya tentang apa yang dilakukan oleh baginda terhadap rakyatnya, malah lebih buruk lagi penganiayaan yang mungkin berlaku ke atas anaknya sendiri Raja Ahmad. Dan disaat itu juga, cahaya matahari pagi yang memancar menyimbahi wajahnya menyedarkan baginda. Lalu dirangkul tubuh anaknya itu, dipeluk dan dicium mesra.
Baginda amat bersyukur yang baginda masih belum terlajak jauh. Dan setelah dari peristiwa itu, Baginda Sultan Mahmud Syah menginsafi akan keterlajuran kerana ketamakan menurut nafsu baginda yang terlalu menggilai Puteri Gunung Ledang, tapi sebaliknya Puteri Gunung Ledang telah menyedarkan baginda untuk lebih menghargai akan apa yang lebih berhak menerima kasih dan sayang dari baginda. Bukannya bayangan cinta seorang wanita yang hadirnya hanya didalam mimpi. Kerajaan Melaka kembali aman dan sentosa, makmur dan terus kekal sebagai sebuah kerajaan agung.
Dan, Gunung Ledang terus kekal megah berdiri, hingga ke hari ini, terus-terusan diselubungi awan berarak dan kabus saban waktu dan hari. Hingga kini cerita dan kisah mengenai seorang puteri yang cantik jelita yang mendiami puncaknya, masih kekal dan pastinya akan terus abadi hingga ke akhir zaman....

No comments:

Post a Comment